20 January 2014

AYAT

  • Ayat ialah suatu bentuk bahasa yang TERBINA dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun dalam dua bahagian iaitu SUBJEK dan PREDIKAT.

BINAAN AYAT

Ayat dasar
Pelajar itu tidak hadir.

Ayat tunggal
Pelajar itu tidak hadir pada petang semalam.

Ayat majmuk
Pelajar itu tidak hadir pada petang semalam kerana ibunya sakit.


1. AYAT DASAR

Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat dasar.
Secara ringkasnya, empat pola ayat dasar tersebut seperti berikut:

Pola 1 - Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Contoh Ayat : Abdullah (FN) pelajar Sekolah Menengah Teknik Shah Alam.(FN)

Pola 2 - Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Contoh Ayat : Pengetua (FN) sedang berucap. (FK)

Pola 3 - Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Contoh Ayat : Erra Fazira (FN) sungguh cantik. (FA)

Pola 4 - Frasa Nama + Frasa Sendi (FN + FK)
Contoh Ayat : Ibu pejabat syarikat kami (FN) di Kuala Lumpur. (FS)


2. AYAT TUNGGAL

  • Ayat tunggal ialah ayat terbentuk daripada satu klausa, iaitu ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
  • Ayat dasar juga adalah ayat tunggal, tetapi bukan semua ayat tunggal dapat dianggap sebagai ayat dasar.
  • Ayat dasar merupakan ayat tunggal jenis ayat penyata dalam ragam ayat aktif.
  • Ayat ini juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat selapis.
  • Contoh : Lelaki itu /sedang menembak burung.
            Subjek    =  Lelaki itu
            Predikat  =  sedang menembak burung .
  • Ayat-ayat berikut ialah contoh ayat-ayat tunggal (subjek ditebalkan. Selainnya ialah predikat).
        -> Ibu negara Malaysia Kuala Lumpur.
        -> Gunung Kinabalu gunung tertinggi di Asia Tenggara.
        -> Di dalam almari tali leher ayah.(pasif)
        -> Nama encik siapa?
        -> Berapakah keuntungan kita hari ini?
  • Telah dinyatakan bahawa ayat tunggal terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
  • Subjek ayat tunggal boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif.
  • Begitu juga dengan predikat ayat tunggal boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

3. AYAT MAJMUK

  • Terdiri daripada lebih daripada satu klausa
  • Ayat Majmuk ialah ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat - ayat tunggal disambungkan oleh perkataan Kata Hubung seperti dan, atau, kecuali, tetapi, sambil, seraya dan lain-lain.
  • Ayat majmuk terbahagi kepada tiga pecahan iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk keterangan, dan ayat majmuk campuran.

Ayat Majmuk Gabungan
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terbina daripada dua ayat tunggal atau lebih yang digabungkan menjadi satu. Ayat ini menggunakan kata hubung seperti ‘dan’, ‘atau’, ‘serta’, ‘lalu’, ‘sambil’, dan ‘tetapi’. 

Contoh :
Aminah pandai menyanyi
Aminah pandai menari
Aminah pandai menyanyi dan menari


Ayat Majmuk Pancangan
Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terbentuk daripada satu ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan ke dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk tersebut. Ayat majmuk pancangan terbahagi kepada tiga iaitu ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen, dan ayat majmuk pancangan keterangan. 

a) Ayat Majmuk Pancangan Relatif

Ayat majmuk pancangan relatif ialah ayat yang dipancang ke dalam ayat induk dengan memakai pancangan relatif 'yang'.

Kanak-kanak itu cedera.
Kanak-kanak itu rupa-rupanya anak Pak Samad.
Kanak-kanak yang cedera itu rupa-rupanya anak Pak Samad.


b) Ayat Majmuk Pancangan Komplemen

Ayat majmuk komplemen ialah ayat utama yang dipancangkan dengan ayat kecil yang seterusnya menjadi komplemen kepada ayat utama. Perhatikan contoh berikut:

Dia memberitahu sesuatu.

Jika sesuatu itu diterangkan sebagai “giginya sakit'' maka ayat komplemen dapat dibentuk dengan menggunakan kata hubung bahawa atau yang.

Dia memberitahu bahawa giginya sakit.

Ayat kecil yang ditaip tebal dalam contoh di atas merupakan objek kata kerja transitif. Selain itu, subjek juga boleh diterangkan sebagai ayat kecil dan menjadi komplemen ayat utama.


c) Ayat Majmuk Pancangan Keterangan

Ayat majmuk keterangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat utama dan satu atau lebih ayat kecil yang bertugas sebagai keterangan kepada predikat.

Contoh:

Pemain hoki negara gagal kerana tidak bersedia.
Oleh sebab dia memandu terlalu laju, Atan menerima empat saman.

Ayat kecil dalam ayat majmuk keterangan menerangkan kata kerja dalam ayat utama, iaitu

Pemain hoki negara gagal dan Atan menerima empat saman.

Ayat majmuk keterangan dibina untuk pelbagai tujuan dengan menggunakan kata hubung yang tertentu.


i) Ayat Keterangan Sebab
Ayat keterangan sebab ialah unsur atau sebahagian ayat yang menerangkan sebab-musabab berlakuknya sesuatu perbuatan atau kejadian. Lazimnya menggunakan kata hubung ‘sebab’, ‘kerana’, ‘oleh sebab’, dan ‘lantaran’. 

ii Ayat Keterangan Waktu
Ayat keterangan waktu merupakan unsur atau ayat yang menerangkan masa atau waktu sesuatu perbuatan atau kejadian itu berlaku. Lazimnya, ayat ini menggunakan kata hubung ‘tatkala’, ‘ketika’, ‘sewaktu’, ‘semasa’, ‘sejak’, ‘semenjak’, ‘setelah’, dan ‘sementara’.

iii) Ayat Keterangan Cara
Ayat keterangan cara ialah unsur atau bahagian ayat yang menerangkan gaya atau kaedah atau cara sesuatu perbuatan atau kejadian itu berlaku. Ayat ini menggunakan kata hubung ‘dengan’. 

iv) Ayat Keterangan Pertentangan
Ayat keterangan pertentangan ialah unsur atau ayat yang sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan atau bertentangan. Lazimnya, ayat ini menggunakan kata hubung ‘walaupun’, ‘sungguhpun’, ‘meskipun’, ‘namun’, dan ‘sedangkan’.

v) Ayat Keterangan Akibat
Ayat keterangan akibat ialah unsur atau bahagian ayat yang menerangkan kesan atau hasil perbuatan atau akibat daripada sesuatu perbuatan atau kejadian. Lazimnya, ayat ini menggunakan kata hubung ‘hingga’ dan ‘sehingga’. 

vi) Ayat Keterangan Perbandingan
Ayat keterangan perbandingan ialah unsur atau bahagian ayat yang menerangkan perbuatan atau kejadian yang menunjukkan persamaan. Ayat ini kebiasaannya menggunakan kata hubung ‘seperti’, ‘macam’, ‘seakan-akan’, ‘bagai’, dan ‘bak’. 


Ayat Majmuk Campuran

Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat. Ayat ini mungkin terdiri daripada ayat tunggal dan ayat majmuk gabungan atau ayat majmuk pancangan. Biasanya, ayat jenis ini panjang.

Panjang pendek bukanlah kriteria ayat majmuk campuran tetapi bilangan subjek dan predikatnya atau bilangan klausanya.
Perhatikan contoh-contoh di bawah.
Klausa utama ditandakan `U' dan bilangannya dinomborkan, ayat kecil ditandakan 'K' dan bilangannya dinomborkan.
contoh 1 : 
Negara mengalami masalah ekonomi (U1) tetapi keadaannya bertambah baik (U2) apabila pertumbuhan eknomi mula berkembang semula (K1).
(Ayat campuran ini terdiri daripada ayat gabungan dan ayat keterangan waktu, atau dua ayat utama dan satu ayat kecil.
contoh 2: 
Apabila kami tiba di Langkawi (K1) kami disambut oleh jawatankuasa (U1) dan kami diperkenalkan kepada Pegawai Daerah (U2) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung (U3).
(Ayat campuran terdiri daripada tiga ayat utama dan satu ayat kecil)
contoh 3:
Ketika pihak bomba sampai (K1) kebakaran itu mula merebak (U1) walaupun penduduk di situ cuba mengawal api (K2).
(Ayat campuran yang mengandungi satu klausa utama dan dua ayat kecil; atau ayat tunggal dengan ayat keterangan waktu dan keterangan pertentangan).
contoh 4:
Projek-projek besar kerajaan diharap menjana pertumbuhan ekonomi negara (U1) dengan meluaskan pekerjaan (K1) serta menggerakkan pelbagai sektor ekonomi pembinaan (K2) selain menyediakan infrastruktur negara (U2).
(Ayat campuran yang terdiri daripada ayat gabungan ayat keterangan cara).





No comments:

Post a Comment