24 February 2012

Ekspo Buku Islam 2





Tarikh : 24 Feb 2012 - 4 Mac 2012
Masa : 10.00 pagi - 9.00 malam
Tmpat : Dewan Cempaka Seri Presint 3, Putrajaya



16 February 2012

Pengenalan Ayat Majmuk



Pen & Pencil Clip Art


 Ayat yang terdiri daripada lebih daripada satu klausa. Ayat Majmuk ialah ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat - ayat tunggal disambungkan oleh perkataan Kata Hubung seperti dan, atau, kecuali, tetapi, sambil, seraya dan lain-lain.


Pengenalan Ayat Tunggal



Stylish Pen Clip Art

Ayat tunggal ialah ayat terbentuk daripada satu klausa, iaitu ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Ayat dasar juga adalah ayat tunggal, tetapi bukan semua ayat tunggal dapat dianggap sebagai ayat dasar. Ayat dasar merupakan ayat tunggal jenis ayat penyata dalam ragam ayat aktif. Ayat ini juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat selapis.


Contoh : Lelaki itu /sedang menembak burung.

            Subjek    =  Lelaki itu
            Predikat  =  sedang menembak burung



08 February 2012

Latihan - Karangan Ucapan/ Ceramah




Sebagai seorang pegawai kebajikan masyarakat, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang punca masalah penderaan dan cara-cara mengatasi di hadapan sekumpulan ibu bapa.Tulis ceramah anda itu selengkapnya. 

Rangka jawapan:                     
Format
:
Ceramah
Pendahuluan
:
Kata alu-aluan yang sepatutnya kepada majlis
Isi-isi
:
Pengertian penderaan

:
Mangsa penderaan: kanak-kanak,suami , isteri

:
Sebab-sebab berlaku penderaan-tiada perasaan kasih sayang,
anak luar nikah,sikap curang suami isteri atau ibu bapa, 
mabuk, hilang pedoman,nilai keagamaan semakin tipis, nilai 
moral dan kemanusiaan hilang, sikap kebendaan yang menebal,
rumah tangga goyah,ekonomi runcing

:
mengadakan kempen, tanamkan sifat kasih sayang dalam  
keluarga, pendidikan agama, hukuman yang berat kepada 
pendera, mewujudkan konsep rumahku syurgaku
Penutup
:
Berharap agar  penerangan yang telah diberikan akan memberikan kesedaran kepada   semua yang hadir dan dapat menghebahkan maklumat ini kepada rakan  yang lain.Mudah-mudahan gejala 
negatif ini akan berkurangan dan dapat dihapuskan.



Format Syarahan



a) Syarahan boleh ditulis seperti karangan jenis rencana, perbincangan dan perbahasan

b) Syarahan dimulai dengan kata alu-aluan sebagai tanda hormat kepada Tuan Pengerusi Majlis, para jemputan khas dan audiens.(Jika untuk pertandingan perlulah ditulis para hakim yang arif lagi bijaksana selepas Tuan Pengetua)

c) Nyatakan tajuk syarahan yang ingin anda sampaikan

d) Hanya 1 isi dimuatkan dalam 1 perenggan

e) Selitkan unsur-unsur peribahasa, humor, kata-kata hikmat supaya penulisan tidak menjadi kaku dan membosankan

f) Anda perlu menyebut Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, hadirin sekalian, atau sidang hadirin sekurang-kurangnya 3 kali

g) Akhiri syarahan dengan kesimpulan yang menyeluruh dan memohon maaf kepada para hadirin jika terdapat ketelanjuran kata dalam syarahan tadi.









Contoh Surat Kiriman Rasmi #1




Kompleks Penghulu,
Mukim Jorak,
12, Pekan Pagoh,
84600 Muar,Johor Darul Takzim.

Ketua polis,
Balai Polis Daerah Muar,
Jalan Petrie,
84600 Muar,Johor Darul Takzim.                                           12 MAC 2012.    
                                     


Tuan, 

Cadangan Mengatasi Kemalangan di Pekan Pagoh 

Merujuk perkara di atas, saya selaku penghulu yang bertanggungjawab atas keselamatan penduduk Mukim Jorak, khususnya penduduk Pekan Pagoh, berasa bimbang dengan kadar kemalangan yang semakin meningkat dari hari ke hari di mukim kami. Perkara yang menyedihkan, tragedi ini melibatkan murid sekolah yang melalui pekan ini untuk ke sekolah. Oleh itu, saya ingin membuat beberapa cadangan kepada pihak tuan untuk mengatasi masalah kemalangan ini. 

2.      Cadangan saya yang pertama adalah untuk meminta pihak tuan mengadakan kawalan lalu lintas, terutamanya pada waktu pelajar pulang dari sekolah. Langkah ini perlu diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana pada waktu yang sama, kenderaan dari arah Bukit Kepong dan Lengga juga sibuk menggunakan jalan di pekan ini. Dalam kesibukan inilah, kemalangan mudah berlaku.Tambahan pula terdapat sebilangan kecil pemandu yang mementingkan diri dengan tidak memberi laluan kepada murid-murid sekolah untuk melintas jalan. Jika pihak tuan mengadakan kawalan lalu lintas pada masa itu, sudah tentu kemalangan dapat dielakkan. 

3.       Saya juga meminta kerjasama daripada pihak polis supaya memberikan surat sokongan bagi mendapat kemudahan lampu isyarat di simpang pekan ini. Setakat ini, permohonan untuk mendapatkan kemudahan lampu isyarat tidak diluluskan oleh pihak yang bertanggungjawab kerana kawasan ini masih dianggap terkawal dan tidak terlalu sibuk. Untuk makluman tuan, pada bulan lalu, sebuah lori yang membawa muatan simen telah terbabas lalu terbalik di kawasan Pekan Pagoh. Kemalangan dikatakan berpunca daripada ketiadaan lampu isyarat yang menyebabkan pemandu lori dari Parit Sulong tidak memberhentikan lorinya ketika sampai di simpang. Pada masa yang sama, sebuah motosikal datang dari arah Lengga. Dalam usaha mengelakkan motosikal tersebut, lori berkenaan telah terbabas dan terbalik menyebabkan seorang peniaga terbunuh. Oleh itu, jika permohonan untuk mendapatkan kemudahan lampu isyarat diluluskan dengan sokongan pihak tuan, saya yakin kadar kemalangan di pekan ini dapat dikurangkan. 

4.        Selain itu, saya mengharapkan agar pihak tuan dapat menganjurkan ceramah keselamatan jalan raya kepada penduduk sekitar Pekan Pagoh, khususnya di kalangan pelajar sekolah.Ceramah seperti ini bukan sahaja akan dapat memberikan kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya keselamatan di jalan raya malah dapat melindungi pengguna jalan raya yang lain. 

5.        Saya juga mengharapkan kerjasama daripada pihak tuan untuk mengadakan sekatan jalan raya pada waktu malam.Hal ini bertujuan untuk membanteras lumba motosikal haram di sekitar Batu 8 hingga Batu 13. Kegiatan seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam di samping membahayakan nyawa mereka. 

6.         Oleh yang demikian besarlah harapan saya agar tuan dapat memberikan perhatian kepada cadangan saya ini. Kami juga berharap agar pihak tuan dapat meluangkan masa untuk meninjau keadaan Pekan Pagoh ini.Seterusnya, saya berharap agar tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan penduduk di pekan ini terjamin. 
Sekian untuk tindakan dan makluman tuan. Atas kerjasama tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.


Yang menjalankan tugas,
(AHMAD FARHAN BIN ZAINUDIN)
Penghulu Mukim Jorak

Format Surat Kiriman Rasmi




1.


Surat kiriman rasmi ditulis dan ditujukan kepada pihak tertentu dengan 
tujuan rasmi seperti membuat permohonan, membuat pesanan, jemputan, 
rayuan, dan sebagainya.
2.
Surat kiriman rasmi mempunyai format atau susun aturnya yang tersendiri.
3.
Fahami tajuk dan tujuan surat serta kepada siapa surat hendak ditujukan.



06 February 2012

Fungsi Bahasa Melayu





Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi
Bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi iaitu
dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem 
pendidikan Negara, urusan perdagangan dan perusahaan, 
upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya.


Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan
Bahasa Melayu berfungsi atau berperanan sebagai bahasa 
atau alat untuk menghubungkan penutur – penutur 
yang menuturkan pelbagai bahasa atau dialek.


Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
Bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi menyampaikan 
ilmu / pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi.


Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar
Bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar di 
sekolah kerajaan (kecuali sekolah rendah jenis kebangsaan) 
dan pusat pengajian tinggi.



04 February 2012

|| Simpulan Bahasa - B ||




Babi Buta / Membabi Buta 
Maksud: Berbuat sesuatu tanpa banyak berfikir. 
Contoh Ayat: Serangan yang membabi buta itu telah menyebabkan
ramai orang awam terkorban. 

Bahasa Ibunda
 
Maksud: Bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kaum. 
Contoh Ayat: Bahasa ibunda Mei Lin ialah bahasa Mandarin. 

Bahasa Kasar / Berbahasa Kasar 
Maksud:
Bahasa yang tidak sopan untuk digunakan. 
Contoh Ayat: Ratna mengeluarkan bahasa kasar semasa bergaduh
dengan kakaknya. 

Bahasa Pasar 
Maksud: Bahasa Melayu yang tidak betul tatabahasanya. 
Contoh Ayat: Jangan menggunakan bahasa pasar apabila
membuat karangan. 

Baik Budi 
Maksud: Baik hati. 
Contoh Ayat: Hafiz seorang pemuda yang baik budi dan
menghormati orang tua. 

Baik Hati 
Maksud: Bersikap baik dan penyayang (suka menolong). 
Contoh Ayat: Nenek memang baik hati. Dia sering menghulurkan
derma kepada rumah anak-anak yatim. 

Baik Sangka 
Maksud: Berpendapat yang orang lain baik.
Contoh Ayat: Kita hendaklah sentiasa bersikap baik sangka terhadap
semua orang. 

Balas Budi / Membalas Budi 
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih. 
Contoh Ayat: Jiman menyara kos perubatan ibu angkatnya sebagai
membalas budi keluarga angkatnya itu. 

Balas Guna 
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih. 

Balik Gagang / Berbalik Gagang 
Maksud: Berpihak kepada musuh. 
Contoh Ayat: Akibat rasa tidak puas hati terhadap ketuanya, Ahmad telah
berbalik gagang dengan membocorkan rahsia syarikatnya. 

Balik Hati / Berbalik Hati 
Maksud: Berubah pendirian. 
Contoh Ayat: Dia telah berbalik hati dan tidak jadi meninggalkan kampungnya. 

Bangkai Bernyawa 
Maksud: Orang yang tidak berguna. 
Contoh Ayat: Kehidupan seorang penagih dadah ibarat bangkai bernyawa. 

Bantal Lengan / Berbantal Lengan 
Maksud: Kehidupan yang terlalu miskin. 
Contoh Ayat: Kehidupannya yang berbantal lengan menyebabkan dia jarang
bergaul dengan jiran tetangganya. 

Banting Tulang / Membanting Tulang 
Maksud: Bekerja bermati-matian. 
Contoh Ayat: Ayah membanting tulang mencari rezeki untuk menyara
kami sekeluarga. 

Banyak Akal 
Maksud: Banyak helah. 
Contoh Ayat: Leman banyak akal apabila diminta membayar hutangnya. 

Banyak Cakap 
Maksud: Orang yang suka berleter. 
Contoh Ayat: Halijah banyak cakap sehingga pening kepala saya mendengarnya. 

Banyak Mulut 
Maksud: Orang yang suka berleter. 

Bapa Angkat 
Maksud: Orang yang mengaku sebagai bapa dan memelihara kita,
walaupun tiada pertalian darah.
Contoh Ayat: Bapa angkat saya memelihara saya seperti anaknya sendiri
kata Salmah kepada Karim. 

Bapa Kandung 
Maksud: Bapa sebenar. 
Contoh Ayat: Bapa kandung saya tinggal di Perak. 

Basuh Mulut / Pembasuh Mulut 
Maksud: Sajian manis atau buah-buahan yang dijadikan hidangan
selepas makan. 
Contoh Ayat: Selepas makan tengah hari saya makan buah tembikai
sebagai pembasuh mulut. 

Batu Api 
Maksud: Orang yang suka menghasut.
Contoh Ayat: Dalam pergaduhan itu Si Mamatlah batu apinya. 

Batu Loncatan
 
Maksud: Sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mencapai hajat yang
lebih besar. 
Contoh Ayat: Kursus membuat makanan ini hanyalah batu loncatan sebelum
saya bergiat cergas dalam perusahaan makanan. 

Bau-Bau Bacang 
Maksud: Persaudaraan yang jauh. 
Contoh Ayat: Saya mesti melawat Zainon apabila ke Terengganu kerana
kami memang ada bau-bau bacang. 

Bawa Alamat 
Maksud: Memberi tanda. 
Contoh Ayat: Langit gelap bawa alamat hari akan hujan. 

Bawa Diri / Membawa Diri 

Bawa Hati 
Maksud: Merajuk. 
Contoh Ayat: Setelah pinangannya ditolak, Amar bawa hati dan belayar
ke negeri orang. 

Bawa Hidup 
Maksud:
Merantau mencari penghidupan. 
Contoh Ayat: Rahul bawa hidup ke Malaysia untuk mencari pendapatan
yang halal. 

Bawa Mati 
Maksud: Menyebabkan mati. 
Contoh Ayat: Penyakit kanser boleh bawa mati jika tidak diubati di peringkat awal. 

Bawa Mulut 
Maksud: Bercerita tentang keburukan orang lain. 
Contoh Ayat: Haris sering bawa mulut tentang kelakuan bekas kekasihnya. 

Bawa Nasib 
Maksud: Merantau mencari penghidupan. 

Bawa Nyawa 
Maksud: Menyelamatkan diri. 
Contoh Ayat: Masing-masing bawa nyawa dengan lari bertempiaran
ketika gempa bumi berlaku. 

Bawa Sial / Membawa Sial 
Maksud: Mendatangkan malang. 
Contoh Ayat: Tiada siapa yang membawa sial. Semuanya telah
ditakdirkan Allah. 

Bawa Tempurung 
Maksud: Minta sedekah. 
Contoh Ayat: Kita masih gagah dan kuat. Kita tidak perlu bawa tempurung. 

Bawa Tuah / Membawa Tuah 
Maksud: Mendatangkan keuntungan. 
Contoh Ayat: Tindakan Ahmad membeli anak syarikat itu membawa
tuah kepada perniagaannya. 

Bawah Angin 
Maksud:
Negeri-negeri di sebelah Timur. 
Contoh Ayat: Kapal itu belayar ke negeri bawah angin. 

Bawah Bendera 
Maksud: Berada dalam perlindungan sesuatu kuasa. 
Contoh Ayat: Pada suatu masa dahulu negeri-negeri di Tanah Melayu
berada bawah bendera Inggeris. 

Bawah Tanah 
Maksud: Pergerakan rahsia atau pergerakan gelap. 
Contoh Ayat: Ketika zaman darurat, tentera komunis menjalankan
pergerakan bawah tanah. 

Bayang Kata / Dibayang Kata 
Maksud: Dikias. 
Contoh Ayat: Semasa makan malam, Mak Long telah dibayang kata oleh
ayah tentang sikap cemburunya itu. 

Bayar Nyawa 
Maksud: Mengorbankan diri. 
Contoh Ayat: Mak Melur sanggup bayar nyawa untuk mendapatkan hak
penjagaan anak lelakinya daripada bekas suaminya. 

Bekas Tangan 
Maksud: Sesuatu yang diusahakan. 
Contoh Ayat: "Terendak yang cantik ini adalah bekas tangan Syamsiah,"
kata Pak Mail memuji menantunya. 

Belah Bumi / Membelah Bumi 
Maksud: Bunyi yang sangat kuat. 
Contoh Ayat: Petir yang membelah bumi petang tadi amat menakutkan saya. 

Belah Hati / Berbelah Hati 
Maksud: Tidak tetap pendirian dalam mengambil sesuatu keputusan. 
Contoh Ayat: Usahlah berbelah hati untuk meninggalkan keluarga demi
mencari masa depan yang lebih baik. 

Belahan Hati 
Maksud: Orang yang sangat dikasihi. 
Contoh Ayat: Anak bongsunya itulah belahan hatinya. 

Belahan Jiwa 
Maksud: Orang yang sangat dikasihi. 

Belahan Nyawa 
Maksud: Orang yang sangat dikasihi. 

Belakang Hari 
Maksud: Kemudian hari. 
Contoh Ayat: "Berusahalah dengan bersungguh-sungguh, supaya hidup
kamu senang belakang hari," nasihat ayah kepada abang. 

Bendera Putih 
Maksud: Mengaku kalah. 
Contoh Ayat: Tentera Siam terpaksa mengibarkan bendera putih kerana
tidak sanggup menentang serangan kerajaan Melaka yang hebat itu. 

Bengkak Perut 
Maksud: Berasa dengki atau sakit hati kerana sesuatu. 
Contoh Ayat: Rajan bengkak perut apabila ibunya menghadiahkan
abangnya sebuah rumah. 

Berat Lalat 
Maksud:
Pura-pura berani. 
Contoh Ayat: Dia berani lalat sahaja apabila mengaku akan menjaga dusun
durian pada waktu malam. 

Berani Mati 
Maksud: Tidak takut mati. 
Contoh Ayat: Angkatan Tentera Malaysia berani mati dalam mempertahankan
tanah air tercinta.

Berat Bibir 
Maksud: Orang yang pendiam. 
Contoh Ayat: Menantu saya berat bibir tetapi rajin ke dapur. 

Berat Hati 
Maksud: Kurang senang. 
Contoh Ayat: Berat hati saya melepaskan dia pergi seorang diri. 

Berat Kaki 
Maksud: Malas. 
Contoh Ayat: Dia berat kaki untuk ke pesta hari jadi temannya. 

Berat Lidah 
Maksud: Tidak dapat berkata-kata. 
Contoh Ayat: Berat lidah Jimah hendak menceritakan hal sebenar kepada ibunya. 

Berat Mata 
Maksud: Mengantuk. 
Contoh Ayat: Baru pukul sembilan malam adik sudah berat mata. 

Berat Mulut 
Maksud: Orang yang pendiam. 

Berat Sebelah 
Maksud: Tidak adil. 
Contoh Ayat: Sikapnya yang berat sebelah mengecewakan saya. 

Berat Tangan 
Maksud: Pemalas. 
Contoh Ayat: Saedah memang berat tangan. Dia hanya tidur dan tidak mahu
menolong kakaknya di dapur. 

Berat Tulang 
Maksud: Pemalas. 

Beri Jalan 
Maksud:
Beri pendapat atau fikiran dalam menyelesaikan sesuatu perkara. 
Contoh Ayat: "Beri jalan untuk menyelesaikan masalah adik kamu ini,"
kata ibu kepada abang. 

Beri Muka 
Maksud:
Memanjakan. 
Contoh Ayat: Kalau kerap diberi muka, mereka akan menjadi malas. 

Berita Hangat 
Maksud: Berita baharu yang menjadi perbualan. 
Contoh Ayat: Kisah seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang bijak
Matematik menjadi berita hangat dalam semua akhbar tempatan. 

Besar Cakap 
Maksud: Orang yang suka bercakap sombong. 
Contoh Ayat: Akmal besar cakap sahaja tetapi dia sebenarnya bukanlah
orang yang berharta. 

Besar Hati /  Berbesar Hati 
Maksud: Gembira. 
Contoh Ayat: Datuk Kamarudin berbesar hati kerana diberikan sambutan
meriah oleh orang bawahannya. 

Besar Kepala 
Maksud: Tidak mahu mendengar nasihat, degil. 
Contoh Ayat: Lijah menjadi besar kepala semenjak kematian ayahnya. 

Besar Mulut 
Maksud: Suka bercakap besar. 
Contoh Ayat: "Jangan suka besar mulut menceritakan kekayaan keluarga kita
yang tak seberapa," kata kakak. 

Besar Perut 
Maksud:
Hamil. 
Contoh Ayat: Kami bakal mendapat anak saudara kerana kakak sudah
besar perut. 

Betul Bendul 
Maksud: Orang yang lurus dan ada kalanya bodoh. 
Contoh Ayat: Jamil memang betul bendul, sebab itulah orang suka
mempermain-mainkannya. 

Biang Keladi 
Maksud:
Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan. 
Contoh Ayat: Rajoolah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian
lembu baru-baru ini. 

Bidan Tarik 
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba. 
Contoh Ayat: Majlis keraian itu diadakan secara bidan tarik menyebabkan
ramai yang tidak hadir. 

Bidan Terjun 
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba. 

Bintang Gelap 
Maksud: Bernasib malang. 
Contoh Ayat: Kehidupannya umpama bintang gelap setelah kakinya dipotong
akibat kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan tempoh hari. 

Bintang Hati 
Maksud: Orang kesayangan kekasih. 
Contoh Ayat: Zahid berasa gelisah kerana bintang hatinya akan ke luar negara. 

Bintang Terang 
Maksud: Nasib baik. 
Contoh Ayat: Sejak tamat pelajaran, dia berbintang terang kerana
mendapat pekerjaan yang baik. 

Bongkar Sauh 

Bongkok Sabut 
Maksud: Bongkok sedikit. 
Contoh Ayat: Pemuda yang bongkok sabut itulah suami saya. 

Bongkok Udang 
Maksud:
Terlalu bongkok kerana tua. 
Contoh Ayat: Nenek yang bongkok udang itu masih kuat membuat
kerja-kerja di kebunnya. 

Buah Bibir 
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai. 
Contoh Ayat: Kisah pendakian Gunung Everest itu masih menjadi buah
bibir rakyat Malaysia. 

Buah Cakap 
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai. 

Buah Fikiran 
Maksud: Pendapat. 
Contoh Ayat: Dalam mesyuarat, buah fikiran ahli yang hadir perlu diambil kira. 

Buah Hati 
Maksud: Orang kesayangan kekasih. 

Buah Helah 
Maksud: Mencari helah. 

Buah Kalam 
Maksud: Hasil tulisan atau karya. 
Contoh Ayat: Novel itu adalah buah kalam Hamid yang pertama. 

Buah Mulut 
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai. 

Buah Pena 
Maksud: Hasil tulisan atau karya. 

Buah Tangan 
Maksud: Hadiah. 
Contoh Ayat: Kami membawa buah tangan semasa melawat
Zaini di hospital. 

Bual Kosong 
Maksud: Bercakap tentang perkara yang tidak penting. 
Contoh Ayat: Zalina dan Badariah suka berbual kosong di serambi rumah. 

Buang Adat 
Maksud: Tidak menggunakan sesuatu adat lagi. 
Contoh Ayat: Kita perlu buang adat yang menyalahi hukum agama. 

Buang Air Besar
 
Maksud: Berak. 
Contoh Ayat: Hari ini sudah tiga kali dia buang air besar. 

Buang Air Kecil 
Maksud: Kencing. 
Contoh Ayat: Penyakit batu karang menyebabkan penghidapnya
berasa sakit ketika membuang air kecil. 

Buang Anak / Membuang Anak 
Maksud: Menggugurkan anak. 
Contoh Ayat: Membuang anak merupakan perbuatan yang dikeji oleh Tuhan. 

Buang Arang Di Muka 
Maksud: Menghilangkan malu. 
Contoh Ayat: Pak Lah menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada jemaah
masjid di kampung itu bagi membuang arang di mukanya. 

Buang Diri / Membuang Diri
 
Maksud: Merantau. 
Contoh Ayat: Dia membuang diri setelah difitnah mengganggu anak dara orang. 

Buang Lelah 
Maksud: Berehat untuk meredakan kepenatan. 
Contoh Ayat: Beberapa buah wakaf telah dibina dalam taman rekreasi
itu sebagai tempat buang lelah. 

Buang Malu 
Maksud: Menghilangkan malu. 

Buang Muka / Membuang Muka 
Maksud: Tidak suka. 
Contoh Ayat: Dia membuang muka apabila bertemu dengan
pemuda yang mengganggunya. 

Buang Negeri / Dibuang Negeri 
Maksud: Diperintah keluar dari sesebuah negeri. 
Contoh Ayat: Ken Long dijatuhi hukuman buang negeri, setelah didapati
bersalah kerana menyertai kongsi gelap. 

Buang Sauh 
Maksud: Berlabuh. 
Contoh Ayat: Kapal itu buang sauh di pelabuhan yang berhampiran
setelah sebulan belayar tanpa henti. 

Buang Sial 
Maksud: Berbuat sesuatu untuk menghilangkan malang. 
Contoh Ayat: Kebiasaan penduduk di situ akan mengadakan adat mandi
bunga sebagai usaha buang sial. 

Buang Tabiat 
Maksud: Berkelakuan atau bercakap yang aneh, biasanya sewaktu
sebelum meninggal dunia.

Buang ubat 
Maksud: Tembakan yang tidak kena pada sasarannya. 
Contoh Ayat: Buang ubat sahaja, kerana gagak yang ditembak tidak pun kena. 

Buat Akal 
Maksud: Mencari helah. 
Contoh Ayat: Dia buat akal apabila disuruh membuat kerja sekolah. 

Buat Bodoh 
Maksud: Pura-pura tidak tahu akan sesuatu. 
Contoh Ayat: Uyob buat bodoh apabila orang lain heboh tentang kehilangan
motosikal yang diletakkan di depan rumahnya. 

Buat Jahat / Berbuat Jahat 
Maksud: Melakukan kejahatan, biasanya berkenaan hubungan
lelaki dan perempuan. 
Contoh Ayat: Dia dituduh berbuat jahat dengan anak gadis Tuk Penghulu. 

Buat Perkara 
Maksud: Berbuat sesuatu, biasanya perkara yang tidak baik. 
Contoh Ayat: Salina terpaksa berhenti kerja kerana suaminya buat perkara. 

Buaya Darat 
Maksud: Orang yang suka memperdaya perempuan. 
Contoh Ayat: Perangai Pak Ya yang buaya darat itu telah dimaklumi
jiran tetangganya. 

Bujur Sirih 
Maksud: Bentuk muka seolah-olah bentuk sirih. 
Contoh Ayat: Mukanya yang bujur sirih itu bertambah ayu apabila dia
memakai selendang sutera putih. 

Buka Langkah Seribu 
Maksud: Lari kerana takut disebabkan sesuatu. 
Contoh Ayat: Fuad buka langkah seribu apabila dikejar oleh Pak Mat. 

Buka Mata 
Maksud: a) Melihat dan meluaskan pandangan.
b) Menyedarkan atau menginsafkan orang lain. 
Contoh Ayat: 
a) Kunjungan ke Kashmir telah membuka mata saya tentang
keindahan alam semula jadinya. 
b) Setelah Adi berjaya memperoleh Ijazah Sarjana barulah
saudara-maranya buka mata. 

Buka Mulut 
Maksud: a) Berkata-kata.
b) Mengadu untuk mendapatkan pertolongan. 
Contoh Ayat: 
a) Semua yang ada tidak berani buka mulut apabila melihat Pak Busu Berang. 
b) Saya terpaksa buka mulut untuk meminjam wang daripadanya. 

Buka Pintu 
Maksud: Memberi peluang. 
Contoh Ayat: Bantuan modal itu telah membuka pintu kepada peniaga
kecil untuk memulakan perniagaan mereka. 

Buka Tanah/ Membuka Tanah 
Maksud: Mengusahakan tanaman atau membina kawasan kediaman
di atas hutan atau tanah yang terbiar. 
Contoh Ayat: Peneroka Felda telah buka tanah untuk mengusahakan
 tanaman kelapa sawit. 

Buka Telinga 
Maksud: Mendengar baik-baik. 
Contoh Ayat: Bala sentiasa buka telinga dan menerima nasihat orang
yang telah lama bertugas di syarikat itu. 

Buka Tembelang 
Maksud: Membocorkan rahsia. 
Contoh Ayat: Si Hamid telah membuka tembelang dengan mengatakan
Si Guna yang mencuri kambing Kurupaya. 

Buku Lima 
Maksud:
Penumbuk. 
Contoh Ayat: Yunus naik marah lalu menunjukkan buku limanya
ke arah Amran. 

Bulan Kesiangan 
Maksud: Berwajah pucat. 
Contoh Ayat: Mukanya seperti bulan kesiangan apabila dia tidak bersolek. 

Bulan Madu 
Maksud: Pergi ke sesuatu tempat untuk berhibur sesudah berkahwin. 
Contoh Ayat: Pengantin baru itu bercadang untuk berbulan
madu di Langkawi. 

Bulan penuh 
Maksud: Cantik. 
Contoh Ayat: Mukamu bagai bulan penuh. Saya suka menatapnya. 

Bulat Fikiran 
Maksud: Mengambil keputusan yang tetap. 
Contoh Ayat: Dia telah bulat fikiran untuk meneruskan pelajarannya ke luar negeri. 

Bulat Kata 
Maksud:
Keazaman yang bersungguh-sungguh. 
Contoh Ayat: Keluarga Khadijah telah bulat kata hendak mewakafkan
tanah pusaka mereka untuk dijadikan tapak sekolah agama. 

Bunga Bangsa 
Maksud: Orang yang berjasa kepada negara. 
Contoh Ayat: Jasa perajurit yang gugur di perbatasan akan sentiasa
dikenang sebagai bunga bangsa. 

Bunga Bibir 
Maksud: Kata-kata yang manis. 
Contoh Ayat: Jangan mudah terpengaruh dengan bunga bibirnya. 

Bunga Dedap 
Maksud:
Orang yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa. 
Contoh Ayat: Tina laksana bunga dedap, harapkan rupanya sahaja
cantik tetapi tidak tahu menghormati jiran tetangga. 

Buru Hutang / Diburu Hutang 
Maksud: Terdesak kerana berhutang. 
Contoh Ayat: Hidup Chee An sentiasa diburu hutang kerana dia suka berjudi. 

Buru Nafsu / Terburu Nafsu 
Maksud: Melakukan sesuatu secara terburu-buru. 
Contoh Ayat: Jangan terburu nafsu dalam mengambil keputusan,
fikirlah baik buruknya.

Buru Pangkat / Memburu Pangkat 
Maksud: Berusaha mencari pangkat. 
Contoh Ayat: Walaupun mahu memburu pangkat, tetapi janganlah melakukan
perkara yang menyalahi undang-undang. 

Buru Pelajaran / Memburu Pelajaran 
Maksud: Berusaha mencari ilmu pengetahuan. 
Contoh Ayat: Encik Azlan masih terus memburu pelajaran
pada usia enam puluhan. 

Buruk Hati 
Maksud:
Orang yang jahat. 
Contoh Ayat: Perempuan yang buruk hati itu tidak membenarkan
anak saudaranya menumpang di rumahnya. 

Buruk Laku 
Maksud: Kelakuan tidak senonoh. 
Contoh Ayat: Perangai Ahmad yang buruk laku menyebabkan dia
tersisih daripada masyarakat. 

Buruk Makan 
Maksud: Pelahap. 
Contoh Ayat: Budak yang buruk makan itu, membedal semua kuih-muih
yang dihidang di atas meja. 

Buruk Mulut 
Maksud:
Percakapan yang kasar. 
Contoh Ayat: Sejak pulang daripada menunaikan haji, perangai buruk
mulutnya telah tiada, sebaliknya dia bercakap dengan lemah lembut. 

Buruk Perut 
Maksud: Kuat makan. 
Contoh Ayat: Orang yang buruk perut mudah mendapat penyakit. 

Buruk Sangka 
Maksud: Menaruh curiga. 
Contoh Ayat: "Jangan buruk sangka kepada kata-kata Zalina,
entahkan dia berniat baik," kata Fairuz kepada Azri. 

Buruk Selera 
Maksud: Makan apa sahaja. 
Contoh Ayat: Jauhkan amalan buruk selera dan makanlah makanan yang seimbang. 

Buruk Siku 
Maksud: Meminta barang yang telah diberikan. 
Contoh Ayat: Agus buruk siku kerana meminta semula motosikal
buruk yang telah diberikan kepada adiknya. 

Busuk Budi 
Maksud: Perangai yang jahat. 
Contoh Ayat: Sikapnya yang busuk budi itu tidak disukai oleh saudara-maranya. 

Busuk Hati 
Maksud:
Orang yang berhati jahat. 
Contoh Ayat: Dia busuk hati walaupun dengan kakaknya sendiri. 

Busung Dada 
Maksud: Sombong. 
Contoh Ayat: Azri bersikap busung dada sejak ayahnya dilantik menjadi
wakil rakyat di daerah itu. 

Buta Ayam / Rabun Ayam 
Maksud: Mata yang rabun menjelang senja. 
Contoh Ayat: Dia tidak boleh memandu kereta pada waktu senja
kerana dia buta ayam. 

Buta Hati 
Maksud: Bersikap kejam. 
Contoh Ayat: Pencuri itu buta hati kerana sanggup membunuh orang tua
yang tidak berdaya itu. 

Buta Huruf 
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis. 
Contoh Ayat: Walaupun Ah Seng buta huruf, dia sentiasa memastikan
anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran. 

Buta Kayu 
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis. 

Buta Malam 
Maksud: Rabun pada waktu malam. 
Contoh Ayat: Dia tidak dapat hadir dalam aktiviti rukun tetangga pada
waktu malam kerana dia buta malam. 

Buta Perut 
Maksud: Tidak bertimbang rasa. 
Contoh Ayat: Kita janganlah jadi orang yang buta perut,
perlulah fikirkan nasib mereka yang malang. 

Buta Warna 
Maksud: Tidak dapat membezakan warna. 
Contoh Ayat: Satu daripada syarat untuk mengikuti program
"Memandu Kapal Terbang" ialah peserta tidak buta warna.