04 February 2012

|| Simpulan Bahasa - B ||




Babi Buta / Membabi Buta 
Maksud: Berbuat sesuatu tanpa banyak berfikir. 
Contoh Ayat: Serangan yang membabi buta itu telah menyebabkan
ramai orang awam terkorban. 

Bahasa Ibunda
 
Maksud: Bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kaum. 
Contoh Ayat: Bahasa ibunda Mei Lin ialah bahasa Mandarin. 

Bahasa Kasar / Berbahasa Kasar 
Maksud:
Bahasa yang tidak sopan untuk digunakan. 
Contoh Ayat: Ratna mengeluarkan bahasa kasar semasa bergaduh
dengan kakaknya. 

Bahasa Pasar 
Maksud: Bahasa Melayu yang tidak betul tatabahasanya. 
Contoh Ayat: Jangan menggunakan bahasa pasar apabila
membuat karangan. 

Baik Budi 
Maksud: Baik hati. 
Contoh Ayat: Hafiz seorang pemuda yang baik budi dan
menghormati orang tua. 

Baik Hati 
Maksud: Bersikap baik dan penyayang (suka menolong). 
Contoh Ayat: Nenek memang baik hati. Dia sering menghulurkan
derma kepada rumah anak-anak yatim. 

Baik Sangka 
Maksud: Berpendapat yang orang lain baik.
Contoh Ayat: Kita hendaklah sentiasa bersikap baik sangka terhadap
semua orang. 

Balas Budi / Membalas Budi 
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih. 
Contoh Ayat: Jiman menyara kos perubatan ibu angkatnya sebagai
membalas budi keluarga angkatnya itu. 

Balas Guna 
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih. 

Balik Gagang / Berbalik Gagang 
Maksud: Berpihak kepada musuh. 
Contoh Ayat: Akibat rasa tidak puas hati terhadap ketuanya, Ahmad telah
berbalik gagang dengan membocorkan rahsia syarikatnya. 

Balik Hati / Berbalik Hati 
Maksud: Berubah pendirian. 
Contoh Ayat: Dia telah berbalik hati dan tidak jadi meninggalkan kampungnya. 

Bangkai Bernyawa 
Maksud: Orang yang tidak berguna. 
Contoh Ayat: Kehidupan seorang penagih dadah ibarat bangkai bernyawa. 

Bantal Lengan / Berbantal Lengan 
Maksud: Kehidupan yang terlalu miskin. 
Contoh Ayat: Kehidupannya yang berbantal lengan menyebabkan dia jarang
bergaul dengan jiran tetangganya. 

Banting Tulang / Membanting Tulang 
Maksud: Bekerja bermati-matian. 
Contoh Ayat: Ayah membanting tulang mencari rezeki untuk menyara
kami sekeluarga. 

Banyak Akal 
Maksud: Banyak helah. 
Contoh Ayat: Leman banyak akal apabila diminta membayar hutangnya. 

Banyak Cakap 
Maksud: Orang yang suka berleter. 
Contoh Ayat: Halijah banyak cakap sehingga pening kepala saya mendengarnya. 

Banyak Mulut 
Maksud: Orang yang suka berleter. 

Bapa Angkat 
Maksud: Orang yang mengaku sebagai bapa dan memelihara kita,
walaupun tiada pertalian darah.
Contoh Ayat: Bapa angkat saya memelihara saya seperti anaknya sendiri
kata Salmah kepada Karim. 

Bapa Kandung 
Maksud: Bapa sebenar. 
Contoh Ayat: Bapa kandung saya tinggal di Perak. 

Basuh Mulut / Pembasuh Mulut 
Maksud: Sajian manis atau buah-buahan yang dijadikan hidangan
selepas makan. 
Contoh Ayat: Selepas makan tengah hari saya makan buah tembikai
sebagai pembasuh mulut. 

Batu Api 
Maksud: Orang yang suka menghasut.
Contoh Ayat: Dalam pergaduhan itu Si Mamatlah batu apinya. 

Batu Loncatan
 
Maksud: Sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mencapai hajat yang
lebih besar. 
Contoh Ayat: Kursus membuat makanan ini hanyalah batu loncatan sebelum
saya bergiat cergas dalam perusahaan makanan. 

Bau-Bau Bacang 
Maksud: Persaudaraan yang jauh. 
Contoh Ayat: Saya mesti melawat Zainon apabila ke Terengganu kerana
kami memang ada bau-bau bacang. 

Bawa Alamat 
Maksud: Memberi tanda. 
Contoh Ayat: Langit gelap bawa alamat hari akan hujan. 

Bawa Diri / Membawa Diri 

Bawa Hati 
Maksud: Merajuk. 
Contoh Ayat: Setelah pinangannya ditolak, Amar bawa hati dan belayar
ke negeri orang. 

Bawa Hidup 
Maksud:
Merantau mencari penghidupan. 
Contoh Ayat: Rahul bawa hidup ke Malaysia untuk mencari pendapatan
yang halal. 

Bawa Mati 
Maksud: Menyebabkan mati. 
Contoh Ayat: Penyakit kanser boleh bawa mati jika tidak diubati di peringkat awal. 

Bawa Mulut 
Maksud: Bercerita tentang keburukan orang lain. 
Contoh Ayat: Haris sering bawa mulut tentang kelakuan bekas kekasihnya. 

Bawa Nasib 
Maksud: Merantau mencari penghidupan. 

Bawa Nyawa 
Maksud: Menyelamatkan diri. 
Contoh Ayat: Masing-masing bawa nyawa dengan lari bertempiaran
ketika gempa bumi berlaku. 

Bawa Sial / Membawa Sial 
Maksud: Mendatangkan malang. 
Contoh Ayat: Tiada siapa yang membawa sial. Semuanya telah
ditakdirkan Allah. 

Bawa Tempurung 
Maksud: Minta sedekah. 
Contoh Ayat: Kita masih gagah dan kuat. Kita tidak perlu bawa tempurung. 

Bawa Tuah / Membawa Tuah 
Maksud: Mendatangkan keuntungan. 
Contoh Ayat: Tindakan Ahmad membeli anak syarikat itu membawa
tuah kepada perniagaannya. 

Bawah Angin 
Maksud:
Negeri-negeri di sebelah Timur. 
Contoh Ayat: Kapal itu belayar ke negeri bawah angin. 

Bawah Bendera 
Maksud: Berada dalam perlindungan sesuatu kuasa. 
Contoh Ayat: Pada suatu masa dahulu negeri-negeri di Tanah Melayu
berada bawah bendera Inggeris. 

Bawah Tanah 
Maksud: Pergerakan rahsia atau pergerakan gelap. 
Contoh Ayat: Ketika zaman darurat, tentera komunis menjalankan
pergerakan bawah tanah. 

Bayang Kata / Dibayang Kata 
Maksud: Dikias. 
Contoh Ayat: Semasa makan malam, Mak Long telah dibayang kata oleh
ayah tentang sikap cemburunya itu. 

Bayar Nyawa 
Maksud: Mengorbankan diri. 
Contoh Ayat: Mak Melur sanggup bayar nyawa untuk mendapatkan hak
penjagaan anak lelakinya daripada bekas suaminya. 

Bekas Tangan 
Maksud: Sesuatu yang diusahakan. 
Contoh Ayat: "Terendak yang cantik ini adalah bekas tangan Syamsiah,"
kata Pak Mail memuji menantunya. 

Belah Bumi / Membelah Bumi 
Maksud: Bunyi yang sangat kuat. 
Contoh Ayat: Petir yang membelah bumi petang tadi amat menakutkan saya. 

Belah Hati / Berbelah Hati 
Maksud: Tidak tetap pendirian dalam mengambil sesuatu keputusan. 
Contoh Ayat: Usahlah berbelah hati untuk meninggalkan keluarga demi
mencari masa depan yang lebih baik. 

Belahan Hati 
Maksud: Orang yang sangat dikasihi. 
Contoh Ayat: Anak bongsunya itulah belahan hatinya. 

Belahan Jiwa 
Maksud: Orang yang sangat dikasihi. 

Belahan Nyawa 
Maksud: Orang yang sangat dikasihi. 

Belakang Hari 
Maksud: Kemudian hari. 
Contoh Ayat: "Berusahalah dengan bersungguh-sungguh, supaya hidup
kamu senang belakang hari," nasihat ayah kepada abang. 

Bendera Putih 
Maksud: Mengaku kalah. 
Contoh Ayat: Tentera Siam terpaksa mengibarkan bendera putih kerana
tidak sanggup menentang serangan kerajaan Melaka yang hebat itu. 

Bengkak Perut 
Maksud: Berasa dengki atau sakit hati kerana sesuatu. 
Contoh Ayat: Rajan bengkak perut apabila ibunya menghadiahkan
abangnya sebuah rumah. 

Berat Lalat 
Maksud:
Pura-pura berani. 
Contoh Ayat: Dia berani lalat sahaja apabila mengaku akan menjaga dusun
durian pada waktu malam. 

Berani Mati 
Maksud: Tidak takut mati. 
Contoh Ayat: Angkatan Tentera Malaysia berani mati dalam mempertahankan
tanah air tercinta.

Berat Bibir 
Maksud: Orang yang pendiam. 
Contoh Ayat: Menantu saya berat bibir tetapi rajin ke dapur. 

Berat Hati 
Maksud: Kurang senang. 
Contoh Ayat: Berat hati saya melepaskan dia pergi seorang diri. 

Berat Kaki 
Maksud: Malas. 
Contoh Ayat: Dia berat kaki untuk ke pesta hari jadi temannya. 

Berat Lidah 
Maksud: Tidak dapat berkata-kata. 
Contoh Ayat: Berat lidah Jimah hendak menceritakan hal sebenar kepada ibunya. 

Berat Mata 
Maksud: Mengantuk. 
Contoh Ayat: Baru pukul sembilan malam adik sudah berat mata. 

Berat Mulut 
Maksud: Orang yang pendiam. 

Berat Sebelah 
Maksud: Tidak adil. 
Contoh Ayat: Sikapnya yang berat sebelah mengecewakan saya. 

Berat Tangan 
Maksud: Pemalas. 
Contoh Ayat: Saedah memang berat tangan. Dia hanya tidur dan tidak mahu
menolong kakaknya di dapur. 

Berat Tulang 
Maksud: Pemalas. 

Beri Jalan 
Maksud:
Beri pendapat atau fikiran dalam menyelesaikan sesuatu perkara. 
Contoh Ayat: "Beri jalan untuk menyelesaikan masalah adik kamu ini,"
kata ibu kepada abang. 

Beri Muka 
Maksud:
Memanjakan. 
Contoh Ayat: Kalau kerap diberi muka, mereka akan menjadi malas. 

Berita Hangat 
Maksud: Berita baharu yang menjadi perbualan. 
Contoh Ayat: Kisah seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang bijak
Matematik menjadi berita hangat dalam semua akhbar tempatan. 

Besar Cakap 
Maksud: Orang yang suka bercakap sombong. 
Contoh Ayat: Akmal besar cakap sahaja tetapi dia sebenarnya bukanlah
orang yang berharta. 

Besar Hati /  Berbesar Hati 
Maksud: Gembira. 
Contoh Ayat: Datuk Kamarudin berbesar hati kerana diberikan sambutan
meriah oleh orang bawahannya. 

Besar Kepala 
Maksud: Tidak mahu mendengar nasihat, degil. 
Contoh Ayat: Lijah menjadi besar kepala semenjak kematian ayahnya. 

Besar Mulut 
Maksud: Suka bercakap besar. 
Contoh Ayat: "Jangan suka besar mulut menceritakan kekayaan keluarga kita
yang tak seberapa," kata kakak. 

Besar Perut 
Maksud:
Hamil. 
Contoh Ayat: Kami bakal mendapat anak saudara kerana kakak sudah
besar perut. 

Betul Bendul 
Maksud: Orang yang lurus dan ada kalanya bodoh. 
Contoh Ayat: Jamil memang betul bendul, sebab itulah orang suka
mempermain-mainkannya. 

Biang Keladi 
Maksud:
Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan. 
Contoh Ayat: Rajoolah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian
lembu baru-baru ini. 

Bidan Tarik 
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba. 
Contoh Ayat: Majlis keraian itu diadakan secara bidan tarik menyebabkan
ramai yang tidak hadir. 

Bidan Terjun 
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba. 

Bintang Gelap 
Maksud: Bernasib malang. 
Contoh Ayat: Kehidupannya umpama bintang gelap setelah kakinya dipotong
akibat kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan tempoh hari. 

Bintang Hati 
Maksud: Orang kesayangan kekasih. 
Contoh Ayat: Zahid berasa gelisah kerana bintang hatinya akan ke luar negara. 

Bintang Terang 
Maksud: Nasib baik. 
Contoh Ayat: Sejak tamat pelajaran, dia berbintang terang kerana
mendapat pekerjaan yang baik. 

Bongkar Sauh 

Bongkok Sabut 
Maksud: Bongkok sedikit. 
Contoh Ayat: Pemuda yang bongkok sabut itulah suami saya. 

Bongkok Udang 
Maksud:
Terlalu bongkok kerana tua. 
Contoh Ayat: Nenek yang bongkok udang itu masih kuat membuat
kerja-kerja di kebunnya. 

Buah Bibir 
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai. 
Contoh Ayat: Kisah pendakian Gunung Everest itu masih menjadi buah
bibir rakyat Malaysia. 

Buah Cakap 
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai. 

Buah Fikiran 
Maksud: Pendapat. 
Contoh Ayat: Dalam mesyuarat, buah fikiran ahli yang hadir perlu diambil kira. 

Buah Hati 
Maksud: Orang kesayangan kekasih. 

Buah Helah 
Maksud: Mencari helah. 

Buah Kalam 
Maksud: Hasil tulisan atau karya. 
Contoh Ayat: Novel itu adalah buah kalam Hamid yang pertama. 

Buah Mulut 
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai. 

Buah Pena 
Maksud: Hasil tulisan atau karya. 

Buah Tangan 
Maksud: Hadiah. 
Contoh Ayat: Kami membawa buah tangan semasa melawat
Zaini di hospital. 

Bual Kosong 
Maksud: Bercakap tentang perkara yang tidak penting. 
Contoh Ayat: Zalina dan Badariah suka berbual kosong di serambi rumah. 

Buang Adat 
Maksud: Tidak menggunakan sesuatu adat lagi. 
Contoh Ayat: Kita perlu buang adat yang menyalahi hukum agama. 

Buang Air Besar
 
Maksud: Berak. 
Contoh Ayat: Hari ini sudah tiga kali dia buang air besar. 

Buang Air Kecil 
Maksud: Kencing. 
Contoh Ayat: Penyakit batu karang menyebabkan penghidapnya
berasa sakit ketika membuang air kecil. 

Buang Anak / Membuang Anak 
Maksud: Menggugurkan anak. 
Contoh Ayat: Membuang anak merupakan perbuatan yang dikeji oleh Tuhan. 

Buang Arang Di Muka 
Maksud: Menghilangkan malu. 
Contoh Ayat: Pak Lah menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada jemaah
masjid di kampung itu bagi membuang arang di mukanya. 

Buang Diri / Membuang Diri
 
Maksud: Merantau. 
Contoh Ayat: Dia membuang diri setelah difitnah mengganggu anak dara orang. 

Buang Lelah 
Maksud: Berehat untuk meredakan kepenatan. 
Contoh Ayat: Beberapa buah wakaf telah dibina dalam taman rekreasi
itu sebagai tempat buang lelah. 

Buang Malu 
Maksud: Menghilangkan malu. 

Buang Muka / Membuang Muka 
Maksud: Tidak suka. 
Contoh Ayat: Dia membuang muka apabila bertemu dengan
pemuda yang mengganggunya. 

Buang Negeri / Dibuang Negeri 
Maksud: Diperintah keluar dari sesebuah negeri. 
Contoh Ayat: Ken Long dijatuhi hukuman buang negeri, setelah didapati
bersalah kerana menyertai kongsi gelap. 

Buang Sauh 
Maksud: Berlabuh. 
Contoh Ayat: Kapal itu buang sauh di pelabuhan yang berhampiran
setelah sebulan belayar tanpa henti. 

Buang Sial 
Maksud: Berbuat sesuatu untuk menghilangkan malang. 
Contoh Ayat: Kebiasaan penduduk di situ akan mengadakan adat mandi
bunga sebagai usaha buang sial. 

Buang Tabiat 
Maksud: Berkelakuan atau bercakap yang aneh, biasanya sewaktu
sebelum meninggal dunia.

Buang ubat 
Maksud: Tembakan yang tidak kena pada sasarannya. 
Contoh Ayat: Buang ubat sahaja, kerana gagak yang ditembak tidak pun kena. 

Buat Akal 
Maksud: Mencari helah. 
Contoh Ayat: Dia buat akal apabila disuruh membuat kerja sekolah. 

Buat Bodoh 
Maksud: Pura-pura tidak tahu akan sesuatu. 
Contoh Ayat: Uyob buat bodoh apabila orang lain heboh tentang kehilangan
motosikal yang diletakkan di depan rumahnya. 

Buat Jahat / Berbuat Jahat 
Maksud: Melakukan kejahatan, biasanya berkenaan hubungan
lelaki dan perempuan. 
Contoh Ayat: Dia dituduh berbuat jahat dengan anak gadis Tuk Penghulu. 

Buat Perkara 
Maksud: Berbuat sesuatu, biasanya perkara yang tidak baik. 
Contoh Ayat: Salina terpaksa berhenti kerja kerana suaminya buat perkara. 

Buaya Darat 
Maksud: Orang yang suka memperdaya perempuan. 
Contoh Ayat: Perangai Pak Ya yang buaya darat itu telah dimaklumi
jiran tetangganya. 

Bujur Sirih 
Maksud: Bentuk muka seolah-olah bentuk sirih. 
Contoh Ayat: Mukanya yang bujur sirih itu bertambah ayu apabila dia
memakai selendang sutera putih. 

Buka Langkah Seribu 
Maksud: Lari kerana takut disebabkan sesuatu. 
Contoh Ayat: Fuad buka langkah seribu apabila dikejar oleh Pak Mat. 

Buka Mata 
Maksud: a) Melihat dan meluaskan pandangan.
b) Menyedarkan atau menginsafkan orang lain. 
Contoh Ayat: 
a) Kunjungan ke Kashmir telah membuka mata saya tentang
keindahan alam semula jadinya. 
b) Setelah Adi berjaya memperoleh Ijazah Sarjana barulah
saudara-maranya buka mata. 

Buka Mulut 
Maksud: a) Berkata-kata.
b) Mengadu untuk mendapatkan pertolongan. 
Contoh Ayat: 
a) Semua yang ada tidak berani buka mulut apabila melihat Pak Busu Berang. 
b) Saya terpaksa buka mulut untuk meminjam wang daripadanya. 

Buka Pintu 
Maksud: Memberi peluang. 
Contoh Ayat: Bantuan modal itu telah membuka pintu kepada peniaga
kecil untuk memulakan perniagaan mereka. 

Buka Tanah/ Membuka Tanah 
Maksud: Mengusahakan tanaman atau membina kawasan kediaman
di atas hutan atau tanah yang terbiar. 
Contoh Ayat: Peneroka Felda telah buka tanah untuk mengusahakan
 tanaman kelapa sawit. 

Buka Telinga 
Maksud: Mendengar baik-baik. 
Contoh Ayat: Bala sentiasa buka telinga dan menerima nasihat orang
yang telah lama bertugas di syarikat itu. 

Buka Tembelang 
Maksud: Membocorkan rahsia. 
Contoh Ayat: Si Hamid telah membuka tembelang dengan mengatakan
Si Guna yang mencuri kambing Kurupaya. 

Buku Lima 
Maksud:
Penumbuk. 
Contoh Ayat: Yunus naik marah lalu menunjukkan buku limanya
ke arah Amran. 

Bulan Kesiangan 
Maksud: Berwajah pucat. 
Contoh Ayat: Mukanya seperti bulan kesiangan apabila dia tidak bersolek. 

Bulan Madu 
Maksud: Pergi ke sesuatu tempat untuk berhibur sesudah berkahwin. 
Contoh Ayat: Pengantin baru itu bercadang untuk berbulan
madu di Langkawi. 

Bulan penuh 
Maksud: Cantik. 
Contoh Ayat: Mukamu bagai bulan penuh. Saya suka menatapnya. 

Bulat Fikiran 
Maksud: Mengambil keputusan yang tetap. 
Contoh Ayat: Dia telah bulat fikiran untuk meneruskan pelajarannya ke luar negeri. 

Bulat Kata 
Maksud:
Keazaman yang bersungguh-sungguh. 
Contoh Ayat: Keluarga Khadijah telah bulat kata hendak mewakafkan
tanah pusaka mereka untuk dijadikan tapak sekolah agama. 

Bunga Bangsa 
Maksud: Orang yang berjasa kepada negara. 
Contoh Ayat: Jasa perajurit yang gugur di perbatasan akan sentiasa
dikenang sebagai bunga bangsa. 

Bunga Bibir 
Maksud: Kata-kata yang manis. 
Contoh Ayat: Jangan mudah terpengaruh dengan bunga bibirnya. 

Bunga Dedap 
Maksud:
Orang yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa. 
Contoh Ayat: Tina laksana bunga dedap, harapkan rupanya sahaja
cantik tetapi tidak tahu menghormati jiran tetangga. 

Buru Hutang / Diburu Hutang 
Maksud: Terdesak kerana berhutang. 
Contoh Ayat: Hidup Chee An sentiasa diburu hutang kerana dia suka berjudi. 

Buru Nafsu / Terburu Nafsu 
Maksud: Melakukan sesuatu secara terburu-buru. 
Contoh Ayat: Jangan terburu nafsu dalam mengambil keputusan,
fikirlah baik buruknya.

Buru Pangkat / Memburu Pangkat 
Maksud: Berusaha mencari pangkat. 
Contoh Ayat: Walaupun mahu memburu pangkat, tetapi janganlah melakukan
perkara yang menyalahi undang-undang. 

Buru Pelajaran / Memburu Pelajaran 
Maksud: Berusaha mencari ilmu pengetahuan. 
Contoh Ayat: Encik Azlan masih terus memburu pelajaran
pada usia enam puluhan. 

Buruk Hati 
Maksud:
Orang yang jahat. 
Contoh Ayat: Perempuan yang buruk hati itu tidak membenarkan
anak saudaranya menumpang di rumahnya. 

Buruk Laku 
Maksud: Kelakuan tidak senonoh. 
Contoh Ayat: Perangai Ahmad yang buruk laku menyebabkan dia
tersisih daripada masyarakat. 

Buruk Makan 
Maksud: Pelahap. 
Contoh Ayat: Budak yang buruk makan itu, membedal semua kuih-muih
yang dihidang di atas meja. 

Buruk Mulut 
Maksud:
Percakapan yang kasar. 
Contoh Ayat: Sejak pulang daripada menunaikan haji, perangai buruk
mulutnya telah tiada, sebaliknya dia bercakap dengan lemah lembut. 

Buruk Perut 
Maksud: Kuat makan. 
Contoh Ayat: Orang yang buruk perut mudah mendapat penyakit. 

Buruk Sangka 
Maksud: Menaruh curiga. 
Contoh Ayat: "Jangan buruk sangka kepada kata-kata Zalina,
entahkan dia berniat baik," kata Fairuz kepada Azri. 

Buruk Selera 
Maksud: Makan apa sahaja. 
Contoh Ayat: Jauhkan amalan buruk selera dan makanlah makanan yang seimbang. 

Buruk Siku 
Maksud: Meminta barang yang telah diberikan. 
Contoh Ayat: Agus buruk siku kerana meminta semula motosikal
buruk yang telah diberikan kepada adiknya. 

Busuk Budi 
Maksud: Perangai yang jahat. 
Contoh Ayat: Sikapnya yang busuk budi itu tidak disukai oleh saudara-maranya. 

Busuk Hati 
Maksud:
Orang yang berhati jahat. 
Contoh Ayat: Dia busuk hati walaupun dengan kakaknya sendiri. 

Busung Dada 
Maksud: Sombong. 
Contoh Ayat: Azri bersikap busung dada sejak ayahnya dilantik menjadi
wakil rakyat di daerah itu. 

Buta Ayam / Rabun Ayam 
Maksud: Mata yang rabun menjelang senja. 
Contoh Ayat: Dia tidak boleh memandu kereta pada waktu senja
kerana dia buta ayam. 

Buta Hati 
Maksud: Bersikap kejam. 
Contoh Ayat: Pencuri itu buta hati kerana sanggup membunuh orang tua
yang tidak berdaya itu. 

Buta Huruf 
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis. 
Contoh Ayat: Walaupun Ah Seng buta huruf, dia sentiasa memastikan
anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran. 

Buta Kayu 
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis. 

Buta Malam 
Maksud: Rabun pada waktu malam. 
Contoh Ayat: Dia tidak dapat hadir dalam aktiviti rukun tetangga pada
waktu malam kerana dia buta malam. 

Buta Perut 
Maksud: Tidak bertimbang rasa. 
Contoh Ayat: Kita janganlah jadi orang yang buta perut,
perlulah fikirkan nasib mereka yang malang. 

Buta Warna 
Maksud: Tidak dapat membezakan warna. 
Contoh Ayat: Satu daripada syarat untuk mengikuti program
"Memandu Kapal Terbang" ialah peserta tidak buta warna.




No comments:

Post a Comment