Kompleks Penghulu,
Mukim Jorak,
12, Pekan Pagoh,
84600 Muar,Johor Darul Takzim.
Ketua polis,
Balai Polis Daerah Muar,
Jalan Petrie,
84600 Muar,Johor Darul Takzim. 12 MAC 2012.
Balai Polis Daerah Muar,
Jalan Petrie,
84600 Muar,Johor Darul Takzim. 12 MAC 2012.
Tuan,
Cadangan Mengatasi Kemalangan di Pekan Pagoh
Merujuk perkara di atas, saya selaku penghulu yang bertanggungjawab atas keselamatan penduduk Mukim Jorak, khususnya penduduk Pekan Pagoh, berasa bimbang dengan kadar kemalangan yang semakin meningkat dari hari ke hari di mukim kami. Perkara yang menyedihkan, tragedi ini melibatkan murid sekolah yang melalui pekan ini untuk ke sekolah. Oleh itu, saya ingin membuat beberapa cadangan kepada pihak tuan untuk mengatasi masalah kemalangan ini.
2. Cadangan saya yang pertama adalah untuk meminta pihak tuan mengadakan kawalan lalu lintas, terutamanya pada waktu pelajar pulang dari sekolah. Langkah ini perlu diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana pada waktu yang sama, kenderaan dari arah Bukit Kepong dan Lengga juga sibuk menggunakan jalan di pekan ini. Dalam kesibukan inilah, kemalangan mudah berlaku.Tambahan pula terdapat sebilangan kecil pemandu yang mementingkan diri dengan tidak memberi laluan kepada murid-murid sekolah untuk melintas jalan. Jika pihak tuan mengadakan kawalan lalu lintas pada masa itu, sudah tentu kemalangan dapat dielakkan.
3. Saya juga meminta kerjasama daripada pihak polis supaya memberikan surat sokongan bagi mendapat kemudahan lampu isyarat di simpang pekan ini. Setakat ini, permohonan untuk mendapatkan kemudahan lampu isyarat tidak diluluskan oleh pihak yang bertanggungjawab kerana kawasan ini masih dianggap terkawal dan tidak terlalu sibuk. Untuk makluman tuan, pada bulan lalu, sebuah lori yang membawa muatan simen telah terbabas lalu terbalik di kawasan Pekan Pagoh. Kemalangan dikatakan berpunca daripada ketiadaan lampu isyarat yang menyebabkan pemandu lori dari Parit Sulong tidak memberhentikan lorinya ketika sampai di simpang. Pada masa yang sama, sebuah motosikal datang dari arah Lengga. Dalam usaha mengelakkan motosikal tersebut, lori berkenaan telah terbabas dan terbalik menyebabkan seorang peniaga terbunuh. Oleh itu, jika permohonan untuk mendapatkan kemudahan lampu isyarat diluluskan dengan sokongan pihak tuan, saya yakin kadar kemalangan di pekan ini dapat dikurangkan.
4. Selain itu, saya mengharapkan agar pihak tuan dapat menganjurkan ceramah keselamatan jalan raya kepada penduduk sekitar Pekan Pagoh, khususnya di kalangan pelajar sekolah.Ceramah seperti ini bukan sahaja akan dapat memberikan kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya keselamatan di jalan raya malah dapat melindungi pengguna jalan raya yang lain.
5. Saya juga mengharapkan kerjasama daripada pihak tuan untuk mengadakan sekatan jalan raya pada waktu malam.Hal ini bertujuan untuk membanteras lumba motosikal haram di sekitar Batu 8 hingga Batu 13. Kegiatan seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam di samping membahayakan nyawa mereka.
6. Oleh yang demikian besarlah harapan saya agar tuan dapat memberikan perhatian kepada cadangan saya ini. Kami juga berharap agar pihak tuan dapat meluangkan masa untuk meninjau keadaan Pekan Pagoh ini.Seterusnya, saya berharap agar tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan penduduk di pekan ini terjamin.
Sekian untuk tindakan dan makluman tuan. Atas kerjasama tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
(AHMAD FARHAN BIN ZAINUDIN)
Penghulu Mukim Jorak
No comments:
Post a Comment